Isunya, Datuk Seri Azlan Man iaitu Menteri Besar yang diperkenan dilantik Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ‘dipulaukan’ sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Pelantikan Menteri Besar tersebut sehingga mengundang kemurkaan Tuanku Syed Sirajuddin selain dikecam oleh rakyat negeri ini.

Pada hari yang sama di Kuala Lumpur, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam satu sidang akhbar mengumumkan pula pemecatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu selain meminta Tuanku Syed Sirajuddin tidak campur tangan dalam soal pelantikan Menteri Besar.

Tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bukan sahaja dikecam oleh rakyat di negeri ini sebalik juga oleh kebanyakan pemimpin tertinggi UMNO lain, yang menyifatkannya sebagai tidak wajar selain boleh mengundang persepsi negatif orang ramai terhadap UMNO selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Meskipun terpaksa berdepan dengan kemelut tersebut, Azlan pula dilihat tenang memulakan tugasnya dan tidak mahu memanjangkan lagi isu berkenaan.

Hari ini, selepas empat hari, kemelut tersebut dilihat sedikit reda apabila kesemua sembilan wakil rakyat BN yang tidak hadir pada majlis angkat sumpah perlantikan jawatan Menteri Besar itu telah menyatakan pendirian menjunjung titah baginda dalam soal tersebut.

Malah ada di antara mereka juga memberi jaminan bahawa isu tersebut akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

Sememangnya tindakan kesembilan wakil rakyat itu adalah merupakan langkah tepat bagi menyelesaikan segala kekusutan yang berlaku demi kesejahteraan rakyat di negeri ini selain perlu dielak daripada diadakan pilihan raya semula.

Sememangnya pilihan raya semula itu tidak perlu diadakan kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah atau boleh menguntungkan BN yang hanya membentuk kerajaan di negeri ini, Pahang dan Sarawak.

Sekiranya keadaan masih buntu dan menuntut pilihan raya semula diadakan, besar kemungkinan hanya memberi kelebihan kepada kepada Pakatan Harapan atau Pas di negeri ini.

Jika dalam pilihan raya itu, Pakatan Harapan menang maka berputih matalah BN dan mungkin dengan cara itu mereka akan lebih berpuas hati melihat Azlan tidak lagi menjadi Menteri Besar.

Jika BN masih mengekalkan penguasaannya, adakah situasi akan berubah, di mana Shahidan menghantar senarai calonya tetapi Tuanku Syed Sirajuddin masih berkenan mahu Azlan kekal sebagai Menteri Besar.

Apa jua keadaan, satu pilihan raya semula di negeri ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Di saat UMNO atau BN berdepan saat genting seperti ini, semua pemimpin sepatutnya perlulah bersatu padu membina semula kepercayaan rakyat kepada parti itu.

Tidak perlulah bersungguh-sungguh mengejar kuasa kerana tindakan itu hanya menyebabkan rakyat semakin menyampah dengan pemimpin parti itu.

Bak kata Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini, ‘krisis politik Perlis adalah contoh kenapa anak muda meluat dengan UMNO’.

Sememangnya kenyataan itu ada asasnya dan adakah kita mahu UMNO terus ditolak. Bersatulah kembali, lupakan seketika perebutan kuasa demi kepentingan UMNO dan rakyat sendiri. - UTUSAN ONLINE