Bagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, beliau berpendapat, semua pihak perlu menghormati Perlembagaan negara yang diamalkan selama ini iaitu Sistem Raja Berperlembagaan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, NURUL HUDA HASSAN, Mohamed Khaled melontarkan pendapat dan berkongsi pandangan termasuk isu peletakan jawatan Osman yang disifatkan penuh misteri dan hanya boleh dirungkai oleh Osman sendiri. 

UTUSAN: Peletakan jawatan Menteri Besar oleh Datuk Osman Sapian penuh misteri?

MOHAMED KHALED: Ya, peletakan Osman itu penuh dengan misteri. Pertama, kera­na Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri mengatakan Sultan Johor sudah lama hendak menukar Menteri Besar. Jadi, yang itu hanya Sultan Johor sahaja tahu kenapa baginda mahu melantik Menteri Besar baharu.

Kemudian, apabila Osman serah surat peletakan jawatan, adakah atas kerelaan sendiri atau pun dipaksa? Dipaksa oleh Sultan Johor yang memang nak tukarkan beliau atau dipaksa oleh Dr. Mahathir, itu pun kita tidak tahu.

Kalau Dr. Mahathir tak paksa, maknanya beliau memang suka Osman dikekalkan di Johor walaupun banyak perkara negatif dan tidak disukai orang Johor terhadap kepemimpinannya. Dr. Mahathir juga perlu beritahu, adakah beliau yang minta Osman meletakkan jawatan.

Pada masa sama, kita pun tidak tahu surat peletakan jawatan Osman itu apa isinya, adakah ia hanya beritahu nak letak jawatan. Tapi logiknya, mana ada orang letak jawatan tanpa beritahu sebab, sekurang-kurangnya akan cakap tidak sihat. Kalau Osman seorang yang bertanggungjawab, pasti beliau akan beritahu kenapa dan adakah tidak puas hati de­ngan Dr. Mahathir ke atau tidak boleh kerja sebab itu dan ini ke. Bagaimanapun, kita melihat rakyat juga mengalu-alukan peletakan jawatan beliau sebab tidak ada lagi yang bertanya kenapa Osman letak jawatan. Jadi, peletakan Osman itu terlalu misteri.

Pendapat Datuk Seri adakah Osman perlu tampil memberikan penjelasan berhubung peletakan jawatan beliau?

Itu terpulang kepada Osman. Jika beliau tidak beritahu, ia akan terus jadi satu misteri dalam sejarah Johor selain daripada rekod lain yang beliau pegang seperti Menteri Besar paling singkat memegang jawatan itu dan sebagainya, rakyat akan ingat semua itu.

Keadaan yang kita hadapi sekarang adalah apabila Dr. Mahathir sendiri yang umumkan peletakan jawatan Osman, rakyat dah tahu dan ia diterima baik oleh rakyat. Memang betul kemungkinan ada yang berpendapat Tuanku yang perlu buat keputusan terima atau tidak, tetapi baginda sudah tahu Dr. Mahathir yang umum dan Tuanku sedar rakyat Johor tak mahu Osman, Tunku Mahkota Johor juga cakap baginda sendiri mahu tukar. Jadi, apa pilihan Sultan Johor sebenarnya. Adakah baginda tidak mahu terima peletakan jawatan Osman?

Isu Menteri Besar Johor ini telah membawa kepada satu krisis antara Raja pemerintah negeri dan kepemimpinan Pusat. Bagaimana cara boleh diatasi supaya ia tidak terus berpanjangan?

Pada saya perkara itu boleh diatasi jika kedua-dua pihak menghormati Perlembagaan. Kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan. Maknanya, selain daripada wakil rakyat dan pemimpin politik, kita juga ada peranan raja. Jadi kita perlu lihat kembali kepada Perlembagaan, kalau kita semua patuh dan hormat, krisis itu tidak akan berpanjangan. Jika ia gagal dihormati, kita khuatir rakyat mungkin akan terfikir untuk ada sistem lain. Oleh itu, semua pihak baik Sultan Johor mahu pun Dr. Mahathir perlu memastikan sistem yang kita sudah amalkan selama ini berjalan dengan baik.

Jadi, atas sebab itu, sama ada Sultan Johor mahu pun Dr. Mahathir kena pastikan sistem itu, rujuk balik kepada Perlembagaan. Pada masa sama, Dewan Undangan Negeri (DUN) hendak dibubarkan atau tidak, Sultan Johor hanya boleh mendengar nasihat Menteri Besar dan bukan rujuk dengan orang lain, yang lain hanya boleh memberi pandangan.

Persoalannya, mengapa semua ini boleh berlaku. Dr. Mahathir umum peletakan jawatan Osman, Sultan Johor pula tidak berada dalam negara pada waktu itu dan surat peletakan jawatan Menteri Besar tidak dapat diserahkan kepada ba­ginda?

Mungkin apabila isu itu timbul saya percaya rakyat yang tidak puas hati dengan kelemahan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) akan beralih fokus kepada isu ini. Dr. Mahathir sudah berjaya menggunakan peluang itu untuk mengalih perhatian rakyat. Kita pun tidak tahu sama ada Dr. Mahathir tercakap atau terumum peletakan jawatan Osman atau ia adalah satu strategi beliau untuk meminda Perlembagaan atau sistem yang kita amalkan selama ini.

Saya berharap kita jangan beri peluang Dr. Mahathir untuk berbuat demikian. Seperti dikatakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam soal pemilihan Menteri Besar, daripada segi Perlembagaan dan amalan selama ini, Sultan Johor berhak membuat pilihan Menteri Besar.

Adakah isu ini digunakan Dr. Mahathir untuk mengalih tumpuan rakyat dan beliau cuba menggunakan peluang itu atas perkara samar dan tidak jelas supaya membolehkan Perlembagaan dipinda atau mengubah sistem yang diamalkan selama ini. Sekali lagi saya tegaskan, jangan beri peluang kepada mana-mana pihak meminda Perlembagaan kita. Bagi Dr. Mahathir beliau memang dahagakan peluang pindaan itu.

Bagaimana pendirian UMNO dalam isu ini?

Apa yang kita nampak adalah isu keberkesanan dalam perjalanan sistem Raja Berperlembagaan melantik Menteri Besar Johor yang baharu sehingga tercetus konflik antara Sultan yang memerintah dan ketua parti yang kini memerintah kerajaan. Bagi UMNO, kita tetap dan akan sentiasa mempertahan dan mendukung sistem Raja Berperlembagaan. Kita perlu te­ngok balik kepada Perlembagaan itu dan semua pihak perlu memainkan peranan dan bersama-sama mempertahankan sistem itu. Jawapan kepada semua persoalan ada dalam sistem Raja Berperlembagaan.