Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, PDRM tidak akan membenarkan apa sahaja bentuk perhimpunan semasa pengiraan undi dilakukan di pusat penjumlahan undi atau di mana-mana lokasi sebaik sahaja tempoh pengundian tamat pukul 5 petang ini.

“Saya mencadangkan agar penyokong semua parti tidak berhimpun dan berarak semasa pengundian dibuat atau selepas pengumuman undi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Jika boleh PDRM mencadangkan penyokong mengetahui keputusan pilihan raya menerusi media massa, itu lebih selesa,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke pusat pengundian bagi Parlimen Hang Tuah Jaya di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru, di sini petang ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan.

Sementara itu, Zulkifli memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai panggilan telefon ‘misteri’ dari luar negara yang diterima pemimpin serta pegawai tinggi kerajaan termasuk calon yang bertanding pada PRU kali ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa setakat petang ini, tiada gangguan komunikasi berlaku di pihak pasukan itu berikutan dakwaan wujudnya panggilan tersebut.

“Saya minta mana-mana pegawai atau calon yang terlibat menerima panggilan itu agar segera melaporkan kepada pihak berkaitan dan jika melibatkan talian komunikasi, mereka wajar memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” kata beliau.

Beberapa pemimpin antaranya Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendakwa beliau menerima ratusan panggilan telefon dari luar negara sejak awal pagi ini sehingga selesai mengundi, dipercayai bertujuan mengganggu sistem komunikasi dalam negara. - UTUSAN ONLINE