Pecah botol arak depan bangunan SUK: Jamal Yunos didakwa
Datuk Seri Jamal Md. Yunos

Jamal menerusi rakaman suara yang dihantar melalui WhatsApp memberitahu, beliau akan hadir ke balai polis seperti diarahkan dan menjelaskan tindakannya menghilangkan diri dari Hospital Ampang Puteri adalah disebabkan salah faham berhubung prosedur pendakwaan luar kamar mahkamah.

“Bagi saya perkara ini adalah salah faham, kerana pada anggapan saya mungkin proses itu telah pun selesai, tetapi ada beberapa dokumen selepas jaminan yang saya baca tidak ditandatangani,” katanya sebagaimana dipetik dalam rakaman suara tersebut di sini hari ini. 

Menurut Jamal, beliau bergegas keluar dari hospital itu kerana mengejar masa untuk mengeluarkan wang Tabung Haji bagi membiayai kos reman dan sebagainya. 

“Pada jam 3.15 (Jumaat lalu), saya telah selesai kes tersebut dan telah pun keluar daripada hospital kerana mendapati reman saya telah habis, jaminan saya terhadap tuduhan tersebut telah dijamin oleh penjamin saya,” jelasnya. 

Bagaimanapun, katanya, setelah berjaya mengeluarkan wang, beliau menerima panggilan sedang diburu pihak polis kerana didakwa melarikan diri. 

“Memandangkan keadaan saya kurang sihat,  saya berpendapat lebih baik saya berehat dulu,” ujarnya lagi. 

Sementara itu, peguam Jamal, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, beliau telah dihubungi anak guamnya yang memaklumkan sedia memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak polis dan perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Beliau memaklumkan masih belum sihat sepenuhnya dan dalam proses penyembuhan. Beliau akan hadir ke mahkamah untuk menyempurnakan proses ikat jamin dan memberikan kerjasama kepada pihak polis setelah sihat. 

“Kami telah memaklumkan kepada polis berkenaan perkembangan ini dan polis juga telah mengambil maklum perkara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE