Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, isu itu sebelum ini timbul bersama dua PRK terdahulu iaitu PRK Parlimen Cameron Highlands dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih namun tenggelam sebaik sahaja kedua-dua PRK selesai.

Kata beliau, memandangkan PRK DUN Rantau pula bakal berlangsung Sabtu ini, isu sama ditimbulkan sekali lagi dengan penambahan cerita baharu kononnya lima pemimpin Pas pernah berunding dengan Datuk Rameli Musa untuk membuat bayaran kepada Clare.

“Bila ada PRK timbul cerita duit RM90 juta dan RM1.4 juta namun selepas pilihan raya terus senyap. Sekarang ini PRK Rantau, jadi timbul pula cerita baharu. Tidak habis-habis. Bagi saya ini isu pilihan raya.

“Saya sebenarnya hairan, Pas tidak bertanding pun di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, tetapi tetap jadi sasaran, memang agak hairanlah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Portal Malaysiakini sebelum ini melaporkan terdapat lima pemimpin Pas telah terlibat dalam rundingan dengan Rameli untuk membolehkan ahli perniagaan itu mendahulukan bayaran kepada Clare.

Tiga daripada lima pemimpin Pas yang terlibat turut didedahkan iaitu Setiausaha Agung, Datuk Takiyudin Hassan, peguam yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat Wan Rohimi Wan Daud dan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Shamsury Mokhtar.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, Malaysiakini sebagai pihak yang menuduh dengan cara mendedahkan perkara itu kepada umum perlu mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya.

“Bagi saya jumpa orang itu, orang ini biasalah saya pun ada berjumpa dengan menteri. Tak kan bila jumpa mesti ada sesuatu yang negatif. Teruklah macam ini. Saya dengan wartawan pun hampir setiap hari jumpa. Kena faham,” katanya.

Timbalan Menteri Besar itu juga secara sinis berharap musuh-musuh politik Pas tidak terlalu menumpukan serangan terhadap parti itu yang merupakan sebuah parti kecil dengan 18 kerusi Parlimen sahaja.

“Orang ini marah kepada Pas, benci tapi rindu tak boleh kalau tak sentuh Pas. Di Parlimen kita parti kecil, ada 18 kerusi sahaja jadi sepatutnya tak perlu pedulikan Pas lagi.

“Tetapi hari ini semua orang masih bercakap dan komen tentang Pas,” katanya. - UTUSAN ONLINE