Sokongan tersebut berkaitan dengan lawatan yang dilakukan Menteri Besar itu ke sempadan Malaysia dan Singapura baru-baru ini hingga mencetuskan polimik serta kontroversi.

Ketua Bahagiannya, Zulkifly Tasrif berkata, pihaknya yakin Osman berada di pihak benar dan berharap beliau terus diberikan kekuatan untuk menjalankan tugas menerajui kerajaan negeri.

Setelah mendengar penjelasan Osman, pihaknya yakin tujuan lawatan ke sempadan perairan itu  hanya untuk memastikan keselamatan negeri ini berada dalam keadaan baik.

"Beliau bukan berseorangan diri ketika lawatan tersebut tetapi bersama-sama Pegawai Jabatan Laut yang tentunya arif dan tahu dengan kawasan persempadanan negara ini.

"Tuduhan pihak Singapura amat tidak berasas dan sengaja mencari isu dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura," katanya dalam sidang akhbar menyatakan sokongan terhadap 
Osman di Balai Raya Kampung Permatang Sepam, Benut di sini semalam.

Seramai 20 ketua kampung di kawasan Benut hadir dalam sidang akhbar itu.

Khamis lalu Osman memberitahu, ramai pihak menyokong tindakannya melakukan lawatan ke kapal MV Pedoman di kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura baru-baru ini.

Sapian percaya lebih banyak pihak akan tampil menyatakan sokongan berhubung tindakan dan sejak Khamis lau sudah menerima sokongan menerusi aplikasi Whatsapp termasuk video daripada beberapa bahagian Bersatu di negeri ini.

Zulkifly yang juga Penyelaras DUN Benut meminta rakyat Johor memberikan keyakinan terhadap  Osman sebagai Menteri Besar demi mempertahankan kedaulatan negeri ini.

"Sebagai Menteri Besar beliau bertanggungjawab melihat pegawai dan kakitangan Jabatan Laut menjalankan tugas dan tidak mungkin melakukan pencerobohan sebagaimana didakwa," katanya. - UTUSAN ONLINE