Manakan tidak, rakyat Kedah menunggu lebih lima tahun untuk melihat projek KXP itu menjadi kenyataan.

KXP boleh dikatakan antara idea daripada Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir sewaktu menjawat jawatan Menteri Besar Kedah selepas mengambil alih pemerintahan negeri itu daripada pentadbiran Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Perancangan untuk melaksanakan KXP dibentangkan oleh Mukhriz yang ketika itu masih lagi bersama Barisan Nasional (BN) sewaktu pembentang­an Bajet Kedah 2015 pada 17 November 2014.

Bagaimanapun, idea KXP itu kemudiannya ‘disejuk beku’ selepas berlakunya peralihan kuasa Menteri Besar antara Mukhriz dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah pada 3 Februari 2016.

Hanya selepas Mukhriz dilantik menjadi Menteri Besar Kedah semula selepas Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14), idea mengenai KXP berkumandang kembali sehingga Mohamed Azmin mengumumkan kelulusan projek tersebut.

Namun, berita gembira buat rakyat Kedah itu disambut dengan nada berlainan daripada Pulau Pinang yang menjadi jiran terdekat negeri jelapang padi itu.

KXP dikatakan bakal menjadi ancaman kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang beroperasi sejak tahun 1979 selepas dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Pulau Pinang, Tun Sardon Jubir.

KXP dilihat sebagai pesaing kepada LTAPP untuk mendapatkan syarikat-syarikat bagi menggunakan perkhidmatan kargo di Koridor Utara sekaligus membawa impak yang negatif kepada pembangunan ekonomi Pulau Pinang.

Malah Ketua Menteri, Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini juga menjelaskan Pulau Pinang bakal kehilangan pelabur yang beralih arah ke kawasan Kulim jika KXP dibina.

Sebagai sebuah negeri yang berjiran malah berkongsi sumber air mentah yang sama dari Sungai Muda, sewajarnya Pulau Pinang memberi peluang kepada Kedah untuk memajukan bahagian Selatan negeri itu menerusi KXP yang tertangguh sejak sekian lama.

Pulau Pinang sendiri telah dilimpahi dengan kepesatan ekonomi menerusi LTAPP malah Kerajaan Pusat sedang mempertimbang untuk menaiktaraf LTAPP bagi menampung 20 juta penumpang sehingga tahun 2035.

Dengan jaminan daripada Kerajaan Pusat bahawa LTAPP tidak akan ditutup walaupun KXP dibina, Pulau Pinang seharusnya menerima dengan positif projek pembinaan KXP agar kemakmuran ekonomi antara dua negeri berjiran itu dapat diagihkan secara sama rata dan tidak lagi hanya ekslusif kepada sebuah negeri mata-mata. - UTUSAN ONLINE