Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan seorang bekas pimpinan DAP sebelum ini mengenai DAP menerima wang RM300 juta daripada Israel adalah sangat serius dan berbahaya kepada negara kerana melibatkan campur tangan luar.

Beliau berkata, ketiadaan penafian mahupun tindakan saman daripada DAP terhadap dakwaan itu selama ini jelas menunjukkan perlunya siasatan dijalankan.

“(Isu) Nik Abduh ini tak ada apa dah, ia tidak melibatkan (dana) RM90 juta, bagi saya isu dana luar yang perlu diangkat berbanding dengan isu dana sesama sendiri kalaupun ada.

“Kita dalam parti contohnya bila pilihan raya kita iklankan nombor akaun (bank) dan bukan jadi kesalahan pun terima sumbangab, malah ada orang Cina beri sumbangan kepada Pas, tapi kalau pihak asing beri dana maka itu bahaya apatah lagi dari Israel, lagi bahaya kerana kita tidak ada hubungan diplomatik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi ahli panel dalam Forum Murabbi Ummah di Dataran Warisan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.

Program sempena sambutan Hari Murabbi Ummah yang bermula semalam itu turut disertai Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Tuan Ibrahim menjawab sedemikian ketika diminta mengulas mengenai pengakuan Nik Mohamad Abduh mengenai rakaman audio Pas menerima duit UMNO yang telah mendakwa penafian awal dahulu dilakukan atas arahan parti.

Ketika menyentuh dakwaan Nik Mohamad Abduh itu, Tuan Ibrahim enggan mengulas panjang dan menganggap isu itu kini tinggal menjadi perbahasan akademik.

“No comment, kerana batang tubuh pun sudah buat kenyataan, saya fikir terserah kepada dialah, saya fikir isu itu bukan besar, sudah jadi perbahasan akademik,”katanya. UTUSAN ONLINE