Bagi Siti Kasim, Bob Manolan mengeluarkan kenyataan tersebut dalam konteks menjawab soalan hadirin yang bertanya tentang tok batin yang masih mempunyai ‘mentaliti Barisan Nasional (BN)’.

Maka, Siti Kasim menyalahkan portal Malaysiakini yang dianggap tidak memaparkan keseluruhan cerita.

“Sekarang, saya tahu media perlu jual berita mereka tetapi Malaysiakini, melalui pengalaman peribadi saya sendiri, mereka akan tulis berita demi sensasi.

“Mereka tidak beretika kerana hanya memaparkan sebahagian cerita. Saya pernah jadi mangsa juga,” katanya dalam kenyataan dalam laman Facebook peribadinya di sini semalam.

Sehubungan itu, Siti Kasim mempersoal tindakan Malaysiakini yang tidak memaparkan soalan yang dikemukakan oleh penduduk ketika itu.

Katanya, yang banyak terlibat membantu protes Orang Asli terutamanya melibatkan isu pembalakan di Kelantan, orang ramai perlu faham situasi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang sebelum ini menjadi ‘alat’ BN untuk memastikan Orang Asli terus jahil (uninformed), takut dan hanya menyokong BN.

Jelasnya lagi, ramai Tok Batin yang tidak berani untuk bercakap mewakili penduduk kampung kerana takut kehilangan pendapatan.

“Kalau anda pernah bekerja dengan komuniti ini, anda akan tahu bahawa penduduk kampung perlu menghadapi banyak rintangan dan rintangan pertama mereka adalah (tok) batin dan penghulu,” katanya.

Bob Manolan sebelum ini dikecam ramai kerana didakwa berkata tok batin di kawasan Cameron Highlands tidak akan dibayar sekiranya tidak menyokong Pakatan Harapan (PH).

Namun, selepas itu beliau menafikan dakwaan tersebut dan menganggap laporan oleh portal Malaysiakini satu bentuk salah tafsir terhadap kenyataannya. - UTUSAN ONLINE