Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, dalam rakaman suara tersebut, Nik Mohamad Abduh tidak menyebut mengenai dana berkenaan malah hasil semakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mendapati dakwaan tersebut tidak wujud.

“Tiada kaitan, dia (Nik Mohamad Abduh) ada sebut RM90 juta? Tiada kan?.

“Mereka buat macam-macam cerita, dulu kata terima berjuta-juta lepas itu kata tidak penting yang penting Pas terima wang dari UMNO. Kalau kami terima, buktikan dakwaan itu,” katanya selepas perhimpunaan Ummah kawasan Jerai di sini, malam tadi.

Baru-baru ini, Nik Mohamad Abduh mengakui suaranya di dalam rakaman audio yang tular tahun lalu berkaitan Pas menerima duit UMNO.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata, apabila rakaman audio tersebut tular tahun lalu, beliau memilih untuk bercakap benar dan mahu mengesahkannya kerana yakin isi ucapan itu akan mudah difahami jika diambil pendengar dalam konteks yang sebenar.

Bagaimanapun katanya, selepas merujuk kepada kepemimpinan parti, mereka memutuskan supaya beliau menafikannya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri merestui ke­putusan tersebut bagi membendung serangan dibuat mu­suh politik parti.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, Pas boleh bersama dengan siapa sahaja asalkan pendirian mengenai Islam dihormati.

“Pas boleh bekerjasama dengan UMNO demi perpaduan ummah dan melawan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat semakin jauh tersasar khususnya apabila gagal menunaikan janji,” katanya.- UTUSAN ONLINE