Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sekiranya UMNO inginkan pembaharuan, kepemimpinan yang terlibat dalam kekalahan buruk semasa pilihan raya umum yang lalu perlu bertanggungjawab.

“Mereka mesti bertanggungjawab dengan kekalahan teruk tersebut. Perkara itu tentu sudah tentu disambut baik oleh ahli-ahli dan pemimpin UMNO di peringkat bawah yang tidak terlibat dengan apa-apa salah guna kuasa.

“Kalau peringkat bawah dapat terima pandangan ini, kita dapat lakukan pembersihan parti dengan lebih cepat dan integriti parti dapat dipulangkan semula,” katanya.

Beliau yang juga salah seorang calon yang bertanding merebut jawatan Presiden UMNO berkata demikian ketika ditemu bual dalam program khas ‘100 Hari Malaysia Baharu’ yang disiarkan Astro Awani, malam ini.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali dengan Ku Li menambah, UMNO akan kembali pulih sekiranya amalan politik wang dapat dilenyapkan.

“Sejak dahulu lagi, UMNO memang sensitif dengan perkara-perkara yang melibatkan moral pemimpin-pemimpinnya. Malah jika diimbas kembali UMNO banyak mengambil tindakan tegas terhadap ahli dan pemimpinnya yang terlibat dengan perkara seumpamanya.

“Tetapi akhir-akhir ini mungkin kerana politik wang, perkara berkaitan moral sudah tidak timbul malah pemimpin-pemimpin parti di Parlimen juga sudah tidak sensitif. Mungkin sudah biasa dengan duit dan perkara moral sudah tidak lagi dirungsingkan mereka,” katanya.

Jelas Tengku Razaleigh lagi, bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah menangis kerana tidak dapat membendung mainan politik wang dalam UMNO.

“Saya masih ingat Dr. Mahathir semasa mahu bersara, pernah mengingatkan ahli UMNO supaya jangan bermain dengan politik wang.

“Malah beliau pernah menangis kerana gagal membendung mainan politik wang yang mengancam kestabilan parti, namun itu tidak menghalang pengamal politik wang dalam parti sehinggalah apa yang terjadi pada UMNO dalam pilihan raya umum baru-baru ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin masih ramai dalam kalangan ahli UMNO yang masih berpegang kuat kepada prinsip perjuangan parti yang membela agama, bangsa dan negara.

“Ada orang kata ahli UMNO ada perasaan perkauman yg menebal dan keagamaan yang kuat, saya tidak fikir begitu kerana mereka sudah sebati dengan perjuangan perti selama ini.

“Oleh itu, saya rasa UMNO akan kekal dalam hati sanubari setiap orang yang mempunyai darah Melayu dalam tubuh badannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE