Katanya, kegagalan dalam melaksanakan amanah itu bukan sahaja memberi kesan terhadap masa depan perkhidmatan mereka yang akan disenarai hitam tetapi juga boleh meningkatkan lagi kos, selain menjejaskan imej kerajaan dan memberi kesan kepada rakyat.

“Kontraktor yang berjaya siapkan projek lebih awal akan diberi insentif sebagai motivasi dan juga sebagai galakan kepada kontraktor lain supaya menyiapkan sesuatu projek dengan baik dan mengikut jadual,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Kontraktor Melayu Terengganu (PKMMT) Kali Ke-42 Tahun 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua PKMM negeri Terengganu, Datuk Nasir Ibrahim Fikri dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Awam negeri, Ir. Rosli Othman.

Katanya, kebanyakan projek berskala besar yang menjadi ikonik dijangka siap tahun depan, dan sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) terus menerajui, kerajaan akan memberi fokus beberapa lagi perancangan projek yang akan digerakkan.

Katanya, kerajaan BN bakal merangka pelbagai projek pembangunan yang akan turut ruang membantu kontraktor bumiputera dalam membawa kemajuan kepada negeri dan rakyat.

“Saya harap pihak PKMMT akan berbincang dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri untuk membantu kontraktor Melayu tempatan melalui pembangunan dan projek yang akan datang.

“Projek yang sedang dilaksanakan akan siap mengikut jadual dan tahun depan kita dapat selesaikan semua projek besar dan selepas itu kita akan fokus dengan pembinaan projek baharu,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE