Ketua Puteri UMNO Bahagian Cheras, Nazatul Shima Shamsuddin.

Katanya, semangat yang telah ‘bergegar’ dalam Dewan Merdeka itu akan dibawa pulang dan disuntik ke bahagian-bahagian pula.

Nazatul berkata demikian sewaktu ditemui Utusan Online di perkarangan Dewan Merdeka selepas ucapan Penggulungan Presiden Parti UMNO di sini hari ini.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Larut, Saliza Ahmad berkata, dia dan perwakilan begitu teruja mendengar amanat presiden parti itu dan sentiasa siap bersedia untuk meneruskan perjuangan.

“Dengan ini, kami sendiri akan turut ke bawah (akar umbi) dan menyebarkan semangat ini agar UMNO terus menang di hati rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Larut, Juraidah Ismail memberitahu, perwakilannya kini tidak sabar menanti PRU-14 akan datang.

“Kami sentiasa berdoa dan terus berdoa agar kemenangan berada di pihak kami,” katanya.

Mengulas lanjut tentang ucapan penggulangan itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Sepanggar, Fadilah Sarbi yakin bahawa UMNO mampu bertahan dan menang dalam PRU-14.

“Berdasarkan tiga perhimpunan kebelakangan ini, saya dapat lihat bahawa roh perjuangan UMNO itu telah kembali,” ujarnya.

Setiausaha UMNO Bahagian Pasir Salak, Sri Rahayu Tajuddin berharap semua ahli UMNO di setiap pelusuk akan bekerjasama dan mengeratkan persefahaman antara satu sama lain.

“Hal ini kerana ikatan kekeluargaan yang kita wujudkan boleh menentukan destinasi agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Bharu, Wan Salmiah Wan Ab. Ghani berharap golongan muda akan lebih ramai turun mengundi sekali gus menempa kejayaan besar bersama parti keramat UMNO. – UTUSAN ONLINE