Seorang penduduk, Norizah Mat Zin, 54, berkata, kadar sewa yang tidak munasabah itu disebabkan oleh permintaan tinggi dalam kalangan pelancong sehingga tempahan bagi inap desa akan meningkat terutama pada musim cuti.

Menurutnya, permintaan tinggi itu juga menyebabkan ada dalam kalangan penduduk mahupun orang luar yang sanggup menyewa rumah untuk dijadikan inap desa bagi tujuan mengaut keuntungan.

“Bukan sahaja sewa rumah mahal malah jika sewa bilik pun harganya dalam lingkungan RM400 ke RM500 sebulan. Harga di sini mengalahkan sewa rumah di bandar raya Ipoh, malah menyamai harga sewa di Kuala Lumpur.

“Ini menyebabkan orang luar yang bekerja di sini terpaksa menyewa bilik. Jika gaji pun RM2,000 dan terpaksa membayar harga sewa separuh daripada gaji, macam mana mahu tampung perbelanjaan lain,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Zainab Sunam, 60, berkata, anaknya terpaksa berulang-alik dari Ipoh ke Cameron Highlands berikutan kadar sewa rumah yang melambung tinggi di sini.

Malah, katanya, dia sendiri menyewa sebuah rumah dua bilik dengan sewa RM600 sebulan.

“Walaupun jauh dan terpaksa berulang alik kerana duduk di Ipoh, tapi apa boleh buat, mahu sewa rumah di sini pun mahal sa­ngat. Sebab itu ramai orang sini duduk di bawah (Ipoh),” katanya.

Bagi seorang pesara, Abdul Razak Mat Isa, 59, keuntungan berganda selain tiada pemantauan menyebabkan orang ramai berlumba-lumba menjalankan perniagaan tersebut meskipun tidak berdaftar.

“Sejak inap desa ini semakin bertambah, harga sewa rumah memang tinggi. Jika mahu cari rumah yang murah pun pada kadar RM800 ke RM900 sebulan,” katanya.