Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau tertarik idea dilaksanakan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man itu kerana boleh membantu merealisasikan hasrat golongan berkenaan memiliki rumah sendiri.

Beliau berkata, malah rumah berkeluasan 74 meter persegi itu bukan sahaja murah tetapi juga selesa.

“Berdasarkan model kerajaan negeri ini, kita akan memikirkan sistem pembinaan rumah ini di negeri ini dan mungkin diperluaskan di seluruh negara.

“Kita akan bentuk satu jawatan kuasa bagi membuat kajian mengenai pelbagai usaha untuk membantu B40 memiliki rumah sendiri dengan harga berpatutan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin kerajaan negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, Zuraida juga meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi membina perhentian bas, membaik pulih atau membina pasar baharu selain melaksanakan mercu tanda pelancongan serta pencahayaan di negeri ini.

“Kita lihat pertembungan pasar besar dan pasar borong di kawasan Sena menimbulkan keadaan tidak selesa. Kita sedia membina pasar yang lebih selesa dengan konsep baharu.

“Selain itu, kita juga melihat keperluan membina perhentian bas di seluruh Perlis memandangkan negeri ini mempunyai banyak pusat pengajian,” katanya.- UTUSAN ONLINE