Najib kini umpama seorang selebriti, setiap hantaran dimuat naik dalam media sosial miliknya terutama di Facebook mendapat sambutan hangat, puluhan ribu ‘tanda suka’ serta ribuan komen dan perkongsian diperoleh.

Slogan dipopularkan Najib ‘Malu Apa Bossku’ tiba-tiba juga menjadi ikutan, disebut-disebut sehingga ke pentas Maharaja Lawak Mega 2018.

Malah telah ada pihak yang mula mencetak slogan itu di baju-T di samping gambar Najib beraksi dengan motosikal Yamaha Y15ZR atau disebut anak muda Y-Suku.

Tiada siapa sangka, jika sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dahulu, akaun Facebook Najib dihujani komen memaki hamun beliau dan Barisan Nasional (BN), kini tidak lagi, berubah sepenuhnya, 360 darjah.

Najib dianggap wira, malah ada yang memberinya gelaran sebagai ‘raja troll’ ekoran serangan troll (sindiran sinis) bertalu-talu olehnya terhadap Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa mengena sasaran dan menarik perhatian warganet.

Sindiran Najib bukanlah kosong tetapi penuh fakta sehinggakan tidak dapat disangkal oleh PH. Adakalanya kerajaan dilihat terpaksa akur dengan mengubah beberapa keputusan penting, semuanya dipercayai gara-gara tekanan ekoran troll Najib dalam Facebook.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang serta menteri-menteri PH yang lain seperti Lim Guan Eng, Dr. Maszlee Malek dan yang terbaharu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad semuanya pernah menerima cuitan troll dari­pada Najib.

Antara yang cuba melakukan sin­diran balas kepada Ahli Parlimen Pekan itu ialah Khalid apabila beliau membuat hantaran ke akaun Facebook miliknya dan juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Namun maklum balas diterima kedua-dua pemimpin itu berlai­nan sehingga warganet menyatakan perlu cuba lagi untuk menjawab sindiran yang dimuat naik oleh Najib.

Tidak kurang dengan itu, beberapa akaun Facebook troll yang menjadi ikutan dalam kalangan warganet sebelum ini seperti Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM), Amran Fans, Sultan Melaka juga dilihat terkesan dengan populariti Najib, sukar nak cari makan.

“Serius, tahap ilmu troll Datuk Seri Najib ini dah buatkan Tentera Troll Kebangsaan Malaysia macam budak tadika,” ujar seorang warganet, Nabeel Naqie.

Menurut seorang penceramah, Mohd. Fairuz Abu menerusi akaun Facebook miliknya, Akhi Fairuz Al-Jengkawi, Najib kini dilihat sedang membina kredibiliti dengan persepsi menerusi sindiran yang dimuat naik di sebalik berdepan puluhan pertuduhan mahkamah.

“Beliau konsisten, warganet pula ibarat memasang khemah di page, Instagram dan Twitter, teruja menantikan update terkini. Dari pemerhatian aku, salah satu faktor BN bungkus PRU yang lepas berpunca dari troll seperti inilah.

“Ini cara anak muda ‘berpolitik’, mereka tak mahu berat-berat. Selagi isu 1MDB tak selesai, semakin berpotensi untuk Najib mempengaruhi anak muda untuk percaya yang beliau tidak terpalit dalam isu 1MDB,” katanya