Itulah permintaan Kuan Chee Heng atau lebih dimesra disapa sebagai Uncle Kentang dalam kalangan rakyat Malaysia apabila ditanya mengenai keputusannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sebagai calon Bebas pada Mac ini.

Sejak mengumumkan bakal bertanding dalam PRK itu, pelbagai reaksi diberikan terhadap aktivis sosial itu termasuklah dakwaan kononnya dia akan melompat menyertai DAP sekiranya menang memandangkan berketurunan Cina.

“Saya tidak sokong DAP atau mana-mana parti sebab saya ikut ajaran Tuhan. Saya minta semua orang supaya huznuzon, bersangka baiklah kepada saya dan niat saya.

“Ya, saya memang Cina dan sambut Tahun Baharu Cina, tetapi saya tak akan masuk DAP atau mana-mana parti kalau saya menang dan ini akan saya letak dalam Aku Janji Bersumpah. Menang atau kalah bukan keutamaan saya.

“Tujuan utama saya bertan­ding pilihan raya ini kerana ingin mengubah nasib orang susah terutama anak-anak Semenyih dan bukannya untuk berpolitik, sebab itu saya bersedia untuk memberi kesemua gaji demi melaksanakan matlamat tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Chee Heng, janji untuk tidak melompat mana-mana parti itu akan diletakkan dalam Aku Janji Bersumpah bersama beberapa inisiatif lain seperti perkhidmatan teksi 10 sen untuk orang susah ke hospital dan van jenazah RM1 bagi mereka yang tidak berkemampuan.

“Setiap kali selepas pilihan raya, nasib YB (Yang Berhormat) yang berubah, mereka tukar jam, kereta termasuk isteri baharu, tetapi rakyat terus melopong.

“Sedangkan sebelum dan semasa kempen pilihan raya, 1,001 janji mereka letak dalam manifesto tetapi selepas menang batang hidung pun tak nampak hulur bantuan pada orang susah,” katanya yang aktif sebagai aktivis sosial sejak 20 tahun lalu.

Tambah Chee Heng yang juga Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, gelaran Yang Berhormat itu patut diubah menjadi ‘Yang Berkhidmat’ kerana tiada sebab untuk individu berkenaan dihormati sekiranya gagal menunaikan janji membantu orang susah.

“Apa yang mereka buat sangat sampai kita nak hormat mereka? Ayah kita pun kita tak panggil Yang Berhormat.

“Kita kena ubah persepsi itu, Yang Berhormat adalah orang yang selalu tolong orang memerlukan, jadi semua orang politik hari ini hanya ‘Yang Berkhidmat’,” katanya.

Selain itu, Chee Heng memberitahu, antara hasratnya lagi adalah meletakkan nombor te­lefon dan barang-barang keper­luan asas di semua rumah ibadat khusus untuk golongan yang memerlukan sekiranya menang dalam PRK nanti.

“Tiada guna tokong Cina indah seni binanya kalau kita tak guna sebagai cawangan untuk bantu rakyat, saya pasti semua tokong, kuil dan surau akan setuju dengan perkara ini,” katanya.