Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, sejarah Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat dahulu merekodkan banyak peristiwa serta kenyataan yang menggambarkan kebencian Pengerusi Pakatan Harapan itu terhadap Pas.

Katanya, pada masa itu, penyokong kedua-dua parti sama ada di peringkat atasan, pertengahan dan bawahan terikat serta taksub kepartian untuk mempertahankan tindakan pemimpin masing-masing sekali gus menyebabkan percakaran politik terus membarah sehingga menjejaskan hubungan sesama Melayu Islam.

“Sesungguhnya, rata-rata orang Melayu amat bersyukur dan gembira apabila Pas dan UMNO yang sekian lama berseteru memilih untuk bertolak-ansur dan berbaik semula.

“Dalam hubungan UMNO dan Pas, luka dan parut terlalu banyak maka tentunya masih ramai yang kekok, malu-malu dan mungkin rasa kurang selesa untuk duduk bersama dalam sebuah pasukan.

“Namun begitu, masing-masing meletakkan harapan yang tinggi agar usaha penyatuan ummah kali ini dijaga dengan baik dan berkekalan,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Syed Atif yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, usaha ke arah kerjasama UMNO dan Pas sebenarnya sudah bermula sejak Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan daripada Dr. Mahathir.

Namun katanya, pada masa itu, sebahagian besar penyokong Pas masih skeptikal untuk mempercayai cakap-cakap pemimpin UMNO.

“Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, usaha tersebut diteruskan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya membuahkan hasil pada hari ini.

“Biarlah Dr. Mahathir dan kawan-kawan baharunya (Pakatan Harapan) terus cuba memecah-belahkan kesatuan orang-orang Melayu. Apa yang penting, barisan kepemimpinan UMNO dan Pas kini menggalas harapan yang tinggi untuk melupakan segala sengketa lama dan melihat ke hadapan untuk kembali memuliakan Islam, memartabatkan kedudukan bangsa Melayu dan mendaulatkan raja-raja di tanah air tercinta ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE