Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, kenyataan tersebut disifatkan sebagai tindakan yang boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kenyataan itu boleh mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini khususnya di negeri ini. Ini kerana dalam video tersebut, beliau secara jelas bertutur dalam bahasa Mandarin menghina martabat dan kedudukan tulisan Jawi yang digunakan untuk bahan lucah.

"Isu yang sengaja dibangkitkan ini menunjukkan beliau seorang yang kurang didikan nilai moral serta tiada sifat muhibah antara agama," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu peýjabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.

Noor Azleen berkata, isu lain yang turut membuatkan pihaknya kurang senang dengan ucapan pemimpin DAP itu apabila beliau melabel umat Islam sebagai 'ekstremis'.

"Dalam ucapannya beliau turut melabel orang Islam sebagai ekstremis. Perkataan ini adalah tohmahan berniat jahat padahal setiap umat ini sering diingatkan untuk besederhana dalam setiap tindak tanduk walaupun ia melibatkan perihal agama Islam.

"Kami membuat laporan polis ini bagi mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan ke atas Ahli Parlimen berkenaan. Kami bimbang tindakan beliau boleh mewujudkan ketegangan antara kaum dan menggangu keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara ini," katanya.

Semalam, tular dalam sosial media sebuah klip video berdurasi 22 saat ketika Shu Qi sedang berucap dalam satu sesi dialog bersama Persatuan Tiong Hwa Kluang pada 9 Ogos lalu. - UTUSAN ONLINE