Undang-undang yang dimaksudkan itu adalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma); Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) (Poca); Akta Pencegahan Keganasan (Pota) dan Akta Hasutan.

Malah, Ramasamy turut mempersoalkan sama ada pengaktifan semula undang-undang itu adalah tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepenuhnya.

“Kenapa pihak-pihak komponen lain tidak menentang tindakan sedemikian?

“Adakah insiden Kuil Seafield adalah satu bencana yang besar dan kita harus mengaktifkan undang-undang lama dan tidak relevan yang telah dikuburkan?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu berkata, undang-undang itu tidak dibuang untuk memastikan penjenayah dan pengganas tidak berfikir mereka boleh terlepas daripada tindakan setelah terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Menurut Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II, sebaik sahaja PH mengambil alih kerajaan Persekutuan, tahanan-tahanan di bawah akta itu dibebaskan.

Katanya, orang ramai juga dimaklumkan kerajaan baharu akan membekukan akta tersebut bersama undang-undang lain dengan tujuan mengkaji semula dan akhirnya melupuskannya.

Bagaimanapun, ujar beliau, perkara itu tidak berlaku sebaliknya akta-akta tersebut telah diaktifkan semula.

“Dalam perkara ini, saya tidak pasti betapa berbeza kita (PH) dengan kerajaan BN.

“Saya tidak faham bagaimana Kabinet boleh membenarkan penggunaan undang-undang ini berdasarkan kepada rusuhan di Kuil Seafield.

“Jika rusuhan lain berlaku pada masa akan datang, adakah kita mencadangkan bahawa kita akan mengaktifkan semula Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Ordinan Darurat (EO)?” katanya.

Jelasnya, beliau percaya kerajaan baharu mesti diberi ruang mencukupi untuk menjalankan amanat tetapi perbincangan secara terperinci perlu diadakan dalam perkara kontroversi sebegitu.

“Saya tidak tahu sejauh mana langkah untuk membangkitkan semula undang-undang ini telah dibincangkan dan mengapa pemimpin-pemimpin PH tidak menunjukkan penentangan mereka walaupun secara rungutan,” katanya. - UTUSAN ONLINE