Timbalan Presiden Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, sebaliknya apa yang perlu dilakukan kerajaan Pusat ketika ini adalah menunaikan janji manifesto pilihan raya umum lalu.

“Kalau kerajaan kata ada hutang, itu soal kerajaan (yang perlu diselesaikan). Kerajaan kena bayar. Rakyat hanya tahu harga mesti turun, pendapatan mesti meningkat.

“Ini tanggungjawab kerajaan, rakyat tidak mahu dengar soal hutang, itu cerita lama tetapi kerajaan perlu perbetulkan, itu soal pengurusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, hutang negara hanya berjaya dikurangkan pada kadar minimum selepas sembilan bulan kerajaan PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Jelas Guan Eng, kerajaan berjaya mengurangkan angkat hutang daripada RM1.087 trilion tetapi masih di peringkat trilion ringgit.

Haslihelmy berkata, PAKP melihat kerajaan PH ketika ini masih tidak tahu menguruskan negara kerana semakin hari rakyat sudah mulai ‘jemu’ dan muak dengan sikap kerajaan yang sering menyalahkan pemerintahan terdahulu.

“PAKP yakin jika pilihan raya diadakan ‘esok’ sudah tentu kerajaan PH akan mencatat sejarah hanya menjadi kerajaan sepenggal ataupun satu tahun sahaja,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE