Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perbuatan itu dilakukan ketika semua pihak sedang berusaha menstabilkan UMNO dan memacu parti itu kembali semula di persada utama politik tanah air.

“Saya tidak tahu apa matlamat dan agenda mereka dan kalau pun saya tahu siapa mereka dan saya menamakan mereka, maka tidak ada beza antara saya dan mereka.

“Yang penting ketika ini ialah tindak-tanduk kita. Buktikan dengan tindakan kita dan tuduhan yang tidak berasas termasuk tindakan saya (berdiam diri) selama ini akan menjawab apa yang mereka tuduh saya sebelum ini (sebagai tidak benar),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu di Kompleks UMNO Jelebu di Simpang Pertang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias, barisan kepimpinan UMNO bahagian tersebut serta para ahli jawatankuasa Pas Kawasan Jelebu yang diketuai pemimpinnya, Norman Ipin.

Persidangan itu menarik perhatian apabila 12 Ahli Parlimen dari UMNO hadir antaranya, Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut); Mohd. Shahar Abdullah (Paya Besar); Datin Mastura Mohd. Yazid (Kuala Kangsar); Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib (Maran) dan Datuk Hasbullah Osman (Gerik).

Hishammuddin berkata, bagi mengagalkan rancangan kumpulan itu, ahli di semua peringkat jangan bercakaran dan bertelagah sesama sendiri dengan membiarkan segelintir orang mengambil kesempatan melagakan pemimpin.

Pada masa yang sama, jelasnya, pemimpin juga jangan membenarkan perbuatan itu dibiarkan berleluasa hingga tidak terkawal.

Mengenai kehadiran ramai pemimpin UMNO dari negeri lain dalam persidangan itu, Hishammuddin berkata, mereka ingin menunjukkan kepada semua pihak bahawa pelbagai cerita lompat parti yang disebarkan selama ini adalah tidak benar.

“Ini terpaksa saya jawab sendiri hari ini. Sudah setahun berlalu selepas pilihan raya umum lalu dengan pelbagai tuduhan tanpa disiasat. Akhirnya inilah realitinya untuk beritahu kepada orang ramai bahawa jangan cuba hendak adu domba, hentikanlah melagakan antara kita,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE