Namun, menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)

THOMAS FANN
THOMAS FANN 

Semenyih Sabtu ini, beberapa menteri PH dari kalangan pemimpin Bersatu, berlumba-lumba menganjurkan pelbagai program melibatkan kementerian masing-masing di kawasan berkenaan.

Antaranya Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempunyai lima program di DUN tersebut semalam dan hari ini pula, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik  dilaporkan mengadakan ‘lawatan kerja’ ke Semenyih dan sempat mengumumkan kelulusan pembinaan sebuah sekolah yang tertangguh.

Sehubungan itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menegur sikap para pemimpin PH terutamanya menteri dan timbalan menteri agar meletakkan standard etika yang tinggi berdasarkan kepada prinsip pilihan raya bersih dan adil.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, taktik berkempen menggunakan jentera kerajaan tidak lagi boleh ‘mengumpan’ pengundi malah perkara tersebut telah dibuktikan sewaktu PRK Parlimen Cameron Highlands dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Jelas Thomas, lawatan Syed Saddiq ke Semenyih hanya se­minggu sebelum tarikh penamaan calon termasuk pemberian minyak hitam motosikal percuma telah menimbulkan syak wasangka bahawa beliau menggunakan kapasiti sebagai menteri untuk berkempen.

“Program-program seperti itu walaupun telah dirancang lama sebelum PRK DUN Semenyih disahkan kosong sepatutnya perlu ditangguhkan selepas hari pengundian atau pun disempurnakan sahaja oleh pegawai kanan kementerian sekiranya benar-benar penting,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain Syed Saddiq dan Maszlee, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun juga dijadual ‘turun’ ke Semenyih esok bagi menghadiri program anjuran kementeriannya termasuk menyerahkan bantuan kepada rakyat.

Sementara itu, tambah Thomas, Bersih 2.0 bimbang ‘lawatan kerja’ menteri yang dilakukan kerajaan PH ketika ini akan mengekalkan ‘budaya’ fungsi parti dan kerajaan yang tidak dipisahkan seperti yang telah dilakukan kerajaan terdahulu.

“Rakyat mahu melihat perubahan tentang bagaimana kempen pilihan raya dijalankan dan dalam semangat yang adil, bukannya dengan penyalahgunaan jawatan,” katanya.