Manakan tidak, untuk rekod, ini merupakan kekalahan kali ketiga Manogaran di kawasan Parlimen itu.

Kali pertama bertanding di Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Manogaran tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) ketika itu, Datuk Seri G. Palanivel.

Manogaran ketika itu memperoleh 10,044 undi dan tewas majoriti tipis iaitu 462 undi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang berlangsung tahun lalu pula, Manogaran sekali lagi tewas kepada calon BN. Kalah kepada muka baharu, Datuk C. Sivarraajh.

Pada PRU-14, jumlah undi diterima Manogaran berkurang kepada 9,710 dan tewas majoriti tipis 597 undi.

Hari ini pula, dalam PRK Parlimen Cameron Highlands, Manogaran melengkapkan kekalahan 'hatrik' kepada calon BN. Kali ini kepada Ramli Mohd. Nor pula.

Jumlah undi diterima Manogaran bukan sahaja semakin merosot kepada 8,800 undi, malah lebih `menyakitkan' apabila beliau tewas dengan jumlah majoriti yang besar iaitu 3,238 undi.

Dengan PH berperanan sebagai Kerajaan Pusat, dan segala kekuatan jentera dikerahkan ke Cameron Highlands, Manogaran tetap tewas, malah lebih teruk berbanding dua pertandingan sebelumnya. - UTUSAN ONLINE