Namun, pada akhirnya Pak Belalang, nujum jadian lakonan hebat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee muncul pemenang terbesar hasil da­ripada kelicikannya itu.

Bukan sahaja dua orang penyamun berjaya dibelitnya bahkan watak raja lakonan Allahyarham Ahmad Nisfu pun terkena dengan ‘game’ Pak Belalang. Apatah lagi setakat puteri raja.

Formula Pak Belalang adalah temberang, selain mempunyai kelicikan membelit akibat tersepit dan juga faktor nasib apabila geluk jampinya tiba-tiba menjadi bola kristal.

Justeru, apa yang berlaku sehari dua ini dalam politik tanah air sedikit sebanyak mengingatkan kepada strategi Pak Belalang.

Ada yang mulanya bagaikan tersepit kemudian menyusun strategi bertindak balas dengan cuba mengenakan balik pihak yang meme­rangkapnya.

Yang pasti, politik jalannya licin, amat licin. Masing-masing ada helah tersendiri agar tidak masuk perangkap lawan. Kalau masuk pun cepat cari jalan untuk melepaskan diri dan ini lebih bahaya.

Rakyat? Mereka tidak ta­hu hendak percaya siapa sekarang. Dari asalnya hanya mengenai perebutan satu kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) di Selangor, kini berpanjangan kepada soal undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat oleh parti komponen kerajaan sendiri.

Apa yang sebenarnya berlaku? Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih mungkin permulaan.