TAKIYUDDIN HASSAN

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kuasa budi bicara itu penting supaya sebarang kes bersabit hak kedudukan dan keistimewaan Islam se­perti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan tidak mendatangkan im­plikasi negatif.

Takiyuddin berkata, kebimba­ngan yang timbul dalam kalangan rakyat adalah wajar rentetan sejarah pengendalian kes yang pernah diputuskan oleh bekas Hakim Besar Sabah itu sebelum ini.

“Kuasa Ketua Hakim Negara ini sangat besar sebab beliau boleh menentukan korum hakim yang akan mendengar sesuatu kes. Oleh itu, saya berharap beliau dapat bertindak mengikut budi bicara termasuk mengambil kira hal-hal berkaitan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Is­lam adalah agama Persekutuan.

“Banyak kes syariah yang dirujuk di Mahkamah Sivil sebelum ini. Contohnya, seperti Akta Pentadbiran Unda­ng-­Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang perlu dibicarakan di mahkamah ber­kenaan.

“Ambil sikap (beliau) meneliti serta peka isu-isu berkaitan Islam yang melibatkan kepenting­an penduduk majoriti di negara ini dan Pas,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kelab Media Kelantan (Kemudi) di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Per­hubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir; Setia­usaha Parti Amanah Negara Kelantan; Rushdan Mustafa; Ketua Penerangan PPBM, Zulkifli Zakaria; Setiausaha Pas negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Pre­siden Kemudi, Azran Fitri Rahim.

Richard, 65, mengangkat sum­pah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa 11 Julai lalu bagi menggantikan Tun Md. Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, keputusan sama ada Pas akan meletakkan calon atau tidak di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dalam pilih­an raya kecil (PRK), bergantung kepada hasil pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi nanti.

“Sama ada hari ini atau esok pagi kami akan bertemu dengan Ahmad Zahid bagi membincangkan perkara berkenaan kerana kita perlu akur dengan pertembungan satu lawan satu di kerusi berkenaan.

“Kita juga sedar UMNO lebih banyak memperoleh undi berbanding Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan sekalipun pembangkang menang di kerusi itu, ia bukan implikasi besar kepada negeri Selangor,” katanya.