Wakil Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Onn Mahathir Md. Nasir yang membentangkan usul itu dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Hotel Amansari, Bandar Seri Alam di sini sebentar tadi, mahukan kerjasama itu diteruskan sampai bila-bila.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian berkata, pihaknya berharap agar penyatuan dua parti politik terbesar Melayu dan Islam terbesar itu dapat dijayakan dengan mantap dan berkesan.

“Menginsafi bahawa kejatuhan UMNO telah menyebabkan bukan sahaja orang Melayu-Islam hilang tempat berpaut dalam soal-soal hak dan kepentingan bangsa dan agama, sebaliknya lebih membimbangkan citra, nilai, identiti dan teras atau dasar negara mula diubah-ubah mengikut kehendak dan kemahuan mereka yang berpegang kepada ideologi Malaysia baharu.

“Malaysia baharu yang tiada bangsa teras, yang merendah-rendahkan kedudukan agama Islam. Malaysia baharu yang mengenepikan hak dan kepentingan bangsa Melayu dan yang memperjuangkan kesamarataan, bukan kesaksamaan,” katanya.

Justeru katanya, sangat penting apabila usul tersebut meminta semua pihak menyokong usaha dan komitmen dibuat kepimpinan UMNO ke arah penyatuan umah Melayu-Islam sekali gus merupakan satu amal bakti UMNO diperkuatkan dengan kerjasama pihak yang sedar kepentingan untuk bersatu.

Beliau berkata, UMNO bahagian amat berterima kasih kepada Pas kerana membuka pintu perbincangan dan perdamaian dengan UMNO dalam keadaan kedua-dua parti mempunyai sejarah yang panjang.

“Kita terpisah secara turun-temurun. Membezakan antara songkok hitam dan kopiah putih sehingga pada satu tahap, kiblat sama tetapi imam berbeza-beza. Pertelingkahan dan perpecahan kita selama ini merugikan orang Melayu-Islam. Ini merupakan kesempatan bangsa lain mengeksploitasi kelemahan dan perpecahan kita untuk memastikan orang Melayu sentiasa bertelingkah.

“Namun pada hari ini keadaan dan situasi cukup berbeza apabila melihat kepentingan Melayu-Islam itu terancam, UMNO-Pas sama-sama muafakat, sama-sama membuka tali persaudaraan yang baharu. Inilah dakwah kasih sayang UMNO-Pas,” katanya. - UTUSAN ONLINE