IRMOHIZAM IBRAHIM

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, antara bukti mengapa Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu dilihat tidak serius membawa agenda rakyat adalah kegagalan mereka untuk mencalonkan Perdana Menteri bagi mengetuai urus tadbir negara.

Sehubungan itu katanya, pembentukan struktur ke­pimpinan Pakatan Harapan hanyalah sebagai satu kosmetik politik bagi mengaburi mata rakyat, lebih-lebih lagi apabila tiada calon DAP yang berada pada kedudukan ter­tinggi sedangkan parti ber­kenaan adalah parti yang pa­ling banyak mempunyai kerusi Parlimen.

“Jika mereka serius dengan agenda rakyat dan negara, sudah semestinya penjelasan mengenai siapakah sebenarnya yang benar-benar memimpin Pakatan Harapan dan calon perdana menteri untuk maklumat rakyat. De­ngan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden, pembentukan struktur ini lebih janggal kerana tiada langsung kelibat wakil DAP yang memegang jawatan tertinggi.

“Nampaknya ada wayang yang dimainkan dan ingin di­terjemahkan oleh kepimpinan pakatan Harapan kerana parti DAP sebenarnya lebih mendominasi kerusi terbanyak dalam pakatan Harapan di Parlimen,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Kata Irmohizam lagi, struktur Pakatan Harapan itu seolah-olah ingin menjaga hati dan perasaan parti-parti komponen sesama mereka daripada mengutamakan agenda rakyat.

Katanya, perkembangan itu dikhuatiri akan menjejaskan keamanan, kestabilan dan negara kerana pertem­bungan tiga ketua dalam Pakatan Harapan.

“Perjuangan mereka le­bih dilihat memperjuangkan kedudukan dan kuasa dengan agenda utama mengelirukan dan mencetuskan provokasi terhadap rakyat bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.