Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya calon yang berpotensi untuk menang akan diletakkan sebagai calon mewakili pembangkang dalam PRK itu nanti.

Menurutnya, ia merupakan strategi bagi membolehkan hanya pertandingan satu lawan satu pada PRK tersebut.

"UMNO dan BN belum memuktamadkan calon yang akan bertanding di Sungai Kandis, namun kita telah memutuskan bahawa kita akan meletak calon dalam PRK itu.

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan parti pembangkang lain iaitu Pas untuk menentukan hanya seorang calon sahaja dipilih nanti, perbincangan itu akan kita lakukan dalam masa terdekat,"katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Kesyukuran Meraikan 93 Bakal Jemaah Haji di Kawasan Parlimen Bagan Datuk, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Khairudin Tarmizi. - UTUSAN ONLINE