ZAINAL ABIDIN OSMAN

Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, kerajaan BN akan ‘selamatkan’ Pulau Pinang daripada ma­salah banjir, pemba­ngunan lereng bukit berleluasa serta isu kesesakan trafik tidak terkawal.

“Selain itu kita juga akan selesaikan masalah alam sekitar, projek tambakan laut serta terpaksa bayar RM40 bilion untuk selesaikan hutang pelan induk pengangkutan.

“Terlalu banyak perkara yang gagal ditunaikan kerajaan negeri sejak 10 tahun meme­rintah ne­geri ini termasuk 51 janji kosong yang dilihat hanya membebankan rakyat,” kata­nya di sini hari ini.

Zainal Abidin yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal mengulas peringatan yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai 51 janji kosong kerajaan DAP dan gabu­ngan pembangkang PKR yang tidak ditunaikan di negeri ini.

Katanya, biarpun tidak memerintah Pulau Pi­nang, namun kerajaan BN menunaikan lebih 99 peratus janji yang dibuat dalam manifesto pilihan ra­ya umum lalu.

Menurutnya, antara janji yang telah dilaksanakan adalah jalan penyu­raian dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ke Bayan Lepas dan pusat bandar yang menelan kos RM1.1 bilion.

“Kita sudah buat macam-macam projek tapi Kerajaan DAP Pulau Pinang asyik bercakap pasal terowong dasar laut sejak 10 tahun lalu tapi sampai sekarang tak nampak rupa.

“Rakyat negeri ini juga mungkin tak dapat maklumat tentang kemudahan lain yang disediakan kerajaan BN terma­suk projek yang diumumkan Najib semalam sehingga mencecah RM1.6 bilion,” katanya.