Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Moha­med Azmin Ali berkata, hutang ter­sebut hanya akan dihapuskan oleh agensi ber­kenaan berdasarkan perkara tertentu seperti dalam konteks ‘hutang tidak wajar’.

Beliau malah menekankan prinsip dan teras dalam Islam tentang hutang wajib dibayar dan

MOHAMED AZMIN ALI
MOHAMED AZMIN ALI 

merupakan persetujuan antara kedua-dua belah pihak iaitu peminjam serta orang yang meminjam.

“Kita perlu baca konteks yang sepenuhnya dalam manifesto PH. Hapuskan semua hutang Felda tidak wajar kerana ia satu akad yang dipersetujui kedua-dua pihak dalam Islam.

“Kerajaan hanya ha­puskan ‘hutang ti­dak wajar’. Sebagai contoh, peneroka perlu berhutang untuk guna baja import yang mahal dan dalam masa yang sama kita mahu galakkan mereka guna baja tempatan.

“Selain itu, kita ha­nya hapuskan kadar faedah hutang peneroka, itu pun ikut keadaan ekonomi semasa,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan ke Tapak Projek Rumah Generasi Kedua Felda Sungai Koyan 2 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, beliau akan membawa segala masalah yang dihadapi Felda termasuk tanggungan hutang sebanyak RM8 bilion pada Mac nanti.

“Hutang Felda sebanyak RM8 bilion adalah masalah yang perlu dihadapi kerajaan PH. Kita akan bentangkan pelan pemulihan di Parlimen pada Mac ini.

“Sebab itu apabila PH memegang tampuk pemerintahan negara, kita putuskan bahawa Felda tidak boleh diuruskan oleh orang politik yang ambil dan buat berdasarkan keputusan politik.

“Hari ini, kita ambil golongan profesional dan perlu menyantuni, memahami dan menyelesaikan masalah peneroka Felda,” jelasnya.