Ng Lum Yong
Ng Lum Yong

Mengapa kepemimpinan parti itu, khususnya PKR masih cuba mahu memperbodohkan rakyat dengan memainkan lagi isu kewujudan pengundi hantu, pemindahan alamat pengundi dan sebagainya semata-mata mahu meraih simpati rakyat?

Apa jadi dengan dakwaan 40,000 pengundi Bangladesh yang kononnya dibawa masuk kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu?

Sudah lima tahun, tiada bukti, rakyat ditipu tetapi pemimpin pembangkang senyap, malah berterusan mahu menggunakan strategi sama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

Sebab itu, salah seorang pengasas PKR, Ng Lum Yong berharap rakyat tidak lagi terperangkap dengan permainan persepsi pakatan berkenaan semata-mata mahu mendapatkan sokongan pada PRU-14.

Lum Yong yakin, PKR ketika ini sedang cuba mewujudkan momentum menjelang PRU-14 supaya rakyat marahkan kerajaan kononnya mahu menipu pada pilihan raya.

Sedangkan tegas beliau, terbukti segala dakwaan dibuat kepemimpinan pembangkang pada PRU-13 tidak dapat dibuktikan walaupun lima tahun telah berlalu.

“Misalnya di Selangor, macam mana mahu pindahkan pengundi kalau kawasan Parlimen yang dimenangi oleh calon pakatan adalah majoriti besar melebihi 10,000.

“Takkan mahu pindahkan sampai 7,000 ke 8,000 pengundi pada satu-satu masa?” jelas beliau.

Lum Yong percaya kejayaan `mengelirukan’ rakyat pada PRU-13 dengan memainkan isu 40,000 pengundi Bangladesh yang tidak wujud telah mendorong Pakatan Harapan diketuai DAP mengulanginya pada PRU-14. - UTUSAN ONLINE