Tidak kisahlah soal legasi pemimpin mana kerana tidak salah pun jika ada yang hendak ambil pujian atau nama kerana itu sudah menjadi lumrah orang politik apatah lagi ini perkara baik.

Cuma apabila peringkat hendak meminda perkara sepenting ini dan membabitkan Perlembagaan pula tu, bukankah lebih tepat kalau tugas itu dikendalikan pihak yang terlibat, yakni SPR sendiri dan dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ya, ini soal polisi namun pada masa sama tetap membabitkan perjalanan pilihan raya, bukan seperti penurunan umur belia. SPR sebagai agensi terlibat pastinya sangat arif dan mempunyai perspektif lebih luas. Malah kuasa itu pun pada mereka.

Atau pun ikut langkah Australia yang mempunyai jawatankuasa khas peringkat Parlimen melibatkan pelbagai parti bagi mengendalikan isu keperluan penurunan had umur minimum mengundi daripada 18 tahun kepada 16 tahun.

Dengan itu, kajian, kertas Kabinet atau sebagainya yang diperlukan sebelum pindaan undang-undang dibentang juga pastinya lebih komprehensif mencakupi segala ruang termasuk pandangan blok pembangkang.

Sementelah lagi, pindaan berkenaan melibatkan keperluan mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat yang bermakna tidak cukup dipersetujui blok kerajaan sahaja. Maka jika hendakkan sokongan pembangkang, kenalah secara formal, bukannya sembang-sembang di lobi Parlimen.

Barulah tidak jadi dua kali kerja seperti sekarang, dah bentang kemudian tarik balik untuk dibentang semula bagi memasukkan apa yang perlu.

Sebenarnya, tidak perlu pembangkang bersuara pun, pertubuhan belia juga bertanya mana mungkin hanya umur minimum layak mengundi diturunkan tetapi kelayakan menjadi calon masih 21 tahun.

Seharusnya perkara ini menjadi iktibar. Malah kalau perlu, biarlah SPR mengepalai usaha ini dan soal siapa yang terlibat menggerakkan penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun tetap akan diingati dan dihargai.

Apa pun setelah dibentang kali kedua nanti, memang elok sangat pembangkang pun sokong kerana usia mengundi 18 tahun sudah menjadi amalan di seluruh dunia, tiada masalah. - UTUSAN ONLINE