Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menjelaskan, orang ramai perlu faham bahawa aktiviti kerajaan kini berjalan seperti biasa memandangkan Parlimen atau DUN kini masih belum dibubarkan.

“Secara amnya, sebarang aktiviti kerajaan tidak melanggar peraturan pilhan raya.

“Jika mereka gunakan aktiviti kerajaan untuk mengumpan undi, itu menjadi isu. Oleh demikian pihak kerajaan mesti jelaskan bahawa aktiviti mereka itu bukan umpan undi jika isu ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis lapor diri tiga Ahli SPR yang baharu di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai gelagat segelintir menteri sejak kebelakangan ini yang giat menjalankan aktiviti kementerian masing-masing menjelangnya Pilihan Raya Kecil (PRK)

DUN Semenyih.

Azhar menambah, kenyataan beliau itu tidak lagi boleh dikatakan relevan sehingga mahkamah membuat keputusan membabitkan isu berkenaan.

“Jika komen saya ini kata salah, tidak semestinya tidak salah dan begitu juga sebaliknya. Akhirnya mahkamah akan buat ketetapan,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, pelantikan Timbalan Pengerusi dan Ahli SPR yang baharu tidak mempunyai kaitan dengan saman pemula oleh seorang pengundi DUN Semenyih.

Katanya, proses pelantikan ahli-ahli SPR telah pun bermula sejak bermula November lalu.

“Susah hendak komen sebab nanti jadi subjudis dan perkara ini telah dikemukakan di mahkamah, malah 18 Februari ini telah ditetapkan pengurusan kes iaitu hakim akan menetapkan tarikh bicara dan hujahan.

“Tetapi secara amnya, SPR akan mempertahankan kedudukan kita seperti kenyataan media dibuat sebelum ini,” katanya.

Pada baru-baru ini, seorang pengundi, Puan Sri Sabariah Mohd. Shariff, 58, mengambil tindakan saman itu selepas timbul isu di media sosial berkaitan SPR sama ada ia satu entiti yang sah atau tidak di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Isu timbul apabila hanya terdapat seorang Pengerusi SPR yang menguruskan hal-hal rasmi SPR selepas timbalan pengerusi SPR dan lima lagi anggotanya telah meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.-UTUSAN ONLINE