Sedangkan menurut Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, hasil semakan, hanya cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan petroleum menunjukkan peningkatan yang agak berbeza antara anggaran pada tahun 2017 yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika pembentangan Bajet 2018.

Selain daripada itu, jelasnya, kesemua perkara penyumbang utama cukai langsung lain menunjukkan penurunan.

“Untuk membuat pengesahan, kita perlu semak semula anggaran yang dibuat oleh kerajaan BN pada tahun 2017 ketika pembentangan Bajet 2018 serta angka yang dinyatakan oleh Lim Guan Eng.

“Selepas membuat semakan, ternyata hanya cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan petroleum menunjukkan peningkatan yang agak berbeza antara anggaran 2017 dengan jumlah kutipan sebenar. Selain dua perkara ini, kesemua penyumbang utama cukai langsung lain menunjukkan penurunan,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.

Tambah Shahril Sufian lagi, perlu diingatkan, tarikh akhir membuat pengisytiharan cukai pendapatan individu adalah pada 30 April setiap tahun. 

Oleh itu, katanya, kenaikan kutipan cukai pendapatan individu 2018 adalah ketika BN masih lagi kerajaan dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hanya berlangsung pada bulan Mei 2018.

"Jika harga minyak dunia tidak naik mendadak atau jika taksiran 2017 ketika pentadbiran BN tidak naik, sudah pasti berlakunya pengurangan ketara dalam hasil kutipan cukai langsung untuk tahun 2018.

“Lim Guan Eng boleh ambil semua kredit tetapi angka tidak pernah menipu. Jelas, angka yang ditunjukkan di sini membuktikan Lim Guan Eng sedang berkhayal dalam fantasinya,” katanya.-UTUSAN ONLINE.