TI LIAN KER
TI LIAN KER

Itu kata-kata tegas Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker terhadap Lim Guan Eng apabila sekeping lagi gambar beliau bersama seorang Datuk Seri yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu terowong tersebar.

Lian Ker bertanya alasan apakah lagi yang bakal dikeluarkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu bagi ‘menyorok’ kontroversi isu terowong itu daripada diketahui umum.

“Tidak sampai seminggu gambar Guan Eng bersama Datuk Seri kembali tersebar. Jadi, apakah alasan Guan Eng kali ini? Bukankah kemunculan gambar kedua ini jelas membuktikan bahawa Guan Eng memang pembohong?

“Sesiapa pun mampu menilai dengan bijak bahawa tiada siapa yang mengambil gambar dengan orang yang sama secara kebetulan lebih daripada sekali kecuali orang itu adalah kawan anda,” kata Lian Ker dalam satu kenyataan hari ini.

Pada awal bulan ini, tersebar sekeping gambar Setiausaha Agung DAP itu bersama Datuk Seri yang dipercayai seorang ahli perniagaan dan disiasat SKMM berhubung dakwaan menerima RM19 juta bagi menyelesaikan kontroversi projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, Guan Eng menafikan bahawa beliau mengenali secara dekat ‘Datuk Seri’ itu dan menurutnya, ramai individu lain turut mengambil gambar bersama ahli perniagaan terbabit.

Gambar Guan Eng dan seorang lelaki yang menyerupai ‘Datuk Seri’ ketawa dalam sebuah kereta disebarkan oleh seorang pengguna Facebook dan didakwa diambil pada Ogos tahun lalu. – UTUSAN ONLINE