Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri, Shamsul Bahar Abd. Rani berkata, pelaksanaan program tuisyen tersebut dilihat mampu memberi impak positif kepada pendidikan anak bangsa.

“Pelajar sebagai generasi pewaris negara hendaklah diasuh dan diberi bimbingan sewajarnya agar mereka bersedia untuk mewarisi negara ini pada masa depan.

“Kami menggesa pemimpin masyarakat, NGO, ibu bapa dan guru untuk terus memberi perhatian kepada dan bersama-sama menjayakan program pendidikan seperti Tuisyen Barakah yang pasti amat bermakna untuk golongan kurang berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr. Salmee Said ketika menggulung perbahasannya di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula keberkesanan program Tuisyen Barakah sebelum memutuskan sama ada ia dikekalkan atau sebaliknya.

Menurutnya, program yang diwujudkan kerajaan terdahulu itu perlu dinilai semula kerana hanya memanfaatkan sejumlah kecil pelajar.

Ketika ini program tersebut memanfaatkan kira-kira 2,000 pelajar terdiri daripada pelajar miskin berpotensi. – UTUSAN ONLINE