Menurut Zuraida, ia berikutan pihaknya berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

“Kalau mengikut kaedah setiap pemimpin dibuat laporan, maknanya ramai pemimpin yang dilapor itu kena bercuti.

“Jadi, itu tidak betul. Kita berdasarkan prinsip seseorang tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Jadi, dalam kes ini, biarlah proses siasatan selesai dan kemudian kita akur dengan keputusannya,” katanya.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Resourceco Asia (M) Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian IGB di sini hari ini.

Zuraida diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berhubung saranan cuti secara sukarela itu yang dipercayai merujuk kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merangkap Timbalan Presiden PKR.

Zuraida dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam semalam berkata, ada pihak mula gelabah dan panik apabila polis semakin hampir mendedahkan dalang di sebalik penyebaran klip video seks luar tabii yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin.

Beliau turut mempersoalkan ahli politik yang menurutnya mengulas isu video berkenaan pada setiap hari sedangkan polis sedang melakukan siasatan.

“Polis perlu diberikan ruang untuk melakukan tugas tanpa diberi tekanan politik daripada mana-mana pihak,” katanya. - UTUSAN ONLINE