Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, tiada gunanya lagi kementerian berkenaan diwujudkan jika tidak dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Sekiranya sudah tidak ada geran lagi saya mencadangkan agar kementerian berkenaan ditutup.

“Kalau sudah tiada geran, tiada bantuan, tiada peranan jadi apa fungsi kementerian itu, lebih baik kita jimatkan duit negara dalam keadaan kita tiada duit,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi Putra di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dilaporkan berkata, Putrajaya tidak lagi memberi geran percuma kerana tidak mahu usahawan terlalu bergantung kepada bantuan itu.

Sementara itu, Presiden Penaja Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali turut kecewa dengan keputusan Kementerian Pembangunan Usahawan itu.

Ujarnya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana membantu orang Melayu dalam pembangunan ekonomi merupakan hak keistimewaan kaum tersebut.

“Geran ini boleh menokok tambah kekurangan modal usahawan bumiputera khususnya yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana.

“Ini satu perkara yang amat mengecewakan, cukup mengecewakan tetapi apa boleh buat kita hanya boleh nyatakan kekecawaan sahaja,” katanya. - UTUSAN ONLINE