Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyifatkan projek mega itu sebagai pendekatan sementara sahaja untuk merangsang pasaran perumahan negara ini dan bukannya mengatasi masalah utama yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

“Walaupun usaha kerajaan untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah impian mereka dilihat amat baik, namun masalah utamanya adalah harga rumah-rumah mampu milik itu sendiri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ekspo pemilikan kediaman akan menawarkan diskaun minimum 10 peratus bagi 22,000 unit rumah siap tidak terjual daripada kira-kira 180 pemaju yang bernilai RM22.5 bilion.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, diskaun sehingga 10 peratus yang ditawarkan seakan-akan menampakkan ekspo itu sebagai jualan garaj bagi menghabiskan segala barangan lebihan yang tidak terjual.

Malah, beliau turut mempersoal sama ada pihak kerajaan sedar akan implikasi yang bakal berlaku terhadap rakyat dan ekonomi negara akibat pelaksanaan itu.

“Hutang isi rumah merupakan antara tertinggi di rantau iaitu pada kadar 83.2 peratus, dan 52.8 peratus daripada hutang tersebut digunakan untuk membeli rumah.

“Jadi, ini tidak secara langsung bercanggah dengan cadangan bahawa hutang isi rumah tidak harus melebihi satu per tiga daripada gaji seseorang individu,” katanya. - UTUSAN ONLINE