Menurut Abdul Aziz, walaupun beliau sendiri tidak bersetuju dengan pandangan pakar undang-undang yang memberi pandangan kepada Majlis Raja-Raja berhubung Statut Rom namun gelaran sedemikian tidak seharusnya digunakan.

Beliau berkata, apatah lagi gelaran itu diberikan oleh seorang menteri.

“Saya rasa gelaran itu tidak wajar. Walaupun kita tidak setuju dengan pandangan mereka, gelaran sedemikian tidak harus digunakan oleh seorang menteri,” katanya kepada Utusan hari ini.

Abdul Aziz yang juga exco kerajaan negeri berkata, setakat ini kedua-dua pihak telah mengemukakan pandangan cuma mereka belum bersemuka.

“Jadi saya harap kedua pihak atau wakil boleh bersemuka untuk berbincang mengenai perkara ini,” katanya.

Abdul Aziz mengulas kenyataan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah semalam yang menghentam pihak yang didakwa memanipulasi fakta berkaitan Statut Rome, termasuk ahli akademik ‘profesor kangkung’. - UTUSAN ONLINE