Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr. Wong Fort Pin bersedia untuk memulangkan darjah tersebut yang dianugerahkan kepadanya sekiranya itu yang dimahukan pucuk pimpinan DAP.

“Saya tidak sangka isu penganugerahan darjah ini menjadi isu kerana sebelum­ ini pada 6 Oktober lalu, dua pe­mimpin DAP di Sabah me­ne­rima gelaran Datuk dan perkara ini tidak dibangkitkan.

“Apabila saya dan Yang Berhormat Tey Kok Kiew (Pengerusi DAP Melaka) menerima gelaran ini Sabtu lepas, perkara ini menjadi isu dan bagi kami tiada masalah untuk memulangkan darjah berkenaan sekiranya itu yang diminta Pusat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Fort Pin yang merupakan Ah­li Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban dan Kok Kiew (ADUN Banda Hilir) dianugerahkan DMSM sempena sambutan ulang tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob kelmarin.

Bagaimanapun isu ber­kenaan timbul selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegur sikap pemimpin parti itu yang menerima darjah kebesaran negeri Sabah dan Melaka yang membawa gelaran Datuk, sebelum menunjukkan komitmen serta prestasi kepada rakyat.

Guan Eng berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan perkara itu kerana menyifatkan ia tidak mencerminkan perjuangan parti.

Sementara itu, Kok Kiew ketika dihubungi memberitahu, beliau menghormati apa sahaja keputusan yang bakal diumumkan oleh CEC DAP berhubung perkara itu nanti dan akan mematuhi arahan yang dikeluarkan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Mohd. Khalil atas penganugerahan ini dan bagi saya anugerah tersebut merupakan penghargaan cukup besar kepada saya.

“Saya mencadangkan kepada DAP Pusat untuk memaklumkan mengenai arahan itu selepas ini bukan sahaja kepada ahli dan pemimpin parti, malah pemimpin tertinggi negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, sultan, raja atau Yang Dipertua Negeri,” katanya.