Perkara itu dimaklumkan sumber dalaman GBS yang dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

“Namun GBS akan menentukan sama ada penyertaan Bersatu dalam gabungan ini sebagai ahli ataupun hanya dalam bentuk kerjasama akan ditentukan kemudian.

“Setakat ini tiada perbincang­an secara formal dibuat tetapi pimpinan GBS bersedia menjalin kerjasama dengan demi kepentingan rakyat Sabah. Jika cara ini akan memberi kesan baik kepada Sabah, saya rasa GBS bersedia dan senang untuk jalin kerjasama ini,” kata sumber itu.

Dalam sidang akhbar semalam, Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri memaklumkan parti itu akan melebarkan sayapnya ke Sabah.

Keputusan itu menimbulkan persoalan banyak pihak memandangkan sebelum ini, Pre­siden Parti Warisan Sabah (Wa­risan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang mesra kepada Pakatan Harapan (PH) menzahirkan hasrat supaya Bersatu tidak bertapak di negeri itu.

GBS ditubuhkan secara rasmi pada 4 Oktober 2018 dengan penyertaan semua parti pembangkang negeri iaitu UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dengan melantik Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebagai pengerusi sementara.

Dalam pada itu, sumber GBS tersebut memaklumkan gabungan itu bersedia menerima penyertaan bekas kepemimpinan UMNO yang menyertai Bersatu ke dalam gabungan tersebut.

‘‘Kita boleh menerima mereka meskipun bukan lagi ahli UMNO seperti mana yang kita wujudkan GBS dahulu. Ini bukan soal parti, tetapi keserasian untuk duduk bersama,’’ jelas beliau.

Sementara itu, Mohd. Shafie mengelak daripada bertemu me­dia dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina semalam, dipercayai enggan memberikan reaksi terhadap isu kemasukan Bersatu ke Sabah.