LOGO GBS
LOGO GBS 

Pengerusi sementara GBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, GBS akan diwakili semua parti pembangkang negeri iaitu UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Katanya, tujuan penubuhannya adalah bagi memperjuangkan hak dan nadi rakyat Sabah yang menuntut perpaduan serta demi kekuatan politik pembangkang negeri.

“Ketua-ketua komponen parti dilantik sebagai Timbalan Pengerusi bersama iaitu Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd. Noor; Presiden Star, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup.

“Sementara itu, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman turut dilantik Timbalan Pengerusi bersama manakala ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak dilantik sebagai Naib Pengerusi GBS,” katanya.

Menurut Pairin, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Masidi Manjun pula memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung GBS dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai dilantik sebagai ketua Penerangan.

Dalam pada itu, Pairin berkata, GBS juga bersedia untuk mengambil alih semula kerajaan negeri daripada tampuk pemerintahan kerajaan sedia ada yang sehingga hari ini belum disahkan statusnya.

“GBS juga akan memastikan Malaysia dan Sabah kekal harmoni dan bersatu di samping meningkatkan pembangunan sosio ekonomi negeri dan mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan saksama,” katanya. - UTUSAN ONLINE