AZHARI
AZHARI

Demikian ditegaskan calon Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Azhari Shaari yang mana perubahan landskap politik negara ketika ini memerlukan parti keramat berusia 71 tahun itu berubah wajah serta pendekatan yang mampu memulihkan semula keyakinan rakyat daripada semua kaum khususnya orang Melayu.

Katanya, perubahan itu tidak bermaksud UMNO perlu mengubah dasar serta pinsip perjuangannya tetapi ia lebih memerlukan gandingan mantap diperingkat kepimpinan tertinggi parti yang terdiri daripada 'orang lama' yang berpengalaman serta 'orang muda' yang mempunyai semangat serta idea-idea baharu.

"Justeru saya fikir dengan adanya gandingan seumpama ini, ia sudah tentunya menjadi satu 'resipi' yang mampu membawa masa depan UMNO yang lebih baik, diyakini serta dihormati semula oleh orang Melayu dan kaum-kaum lain di negara ini," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pencalonannya, Azhari menegaskan beliau yakin akan mampu memberikan sumbangan kepada survival UMNO berdasarkan pengalamannya dalam parti bermula hanya menjadi ahli biasa di peringkat akar umbi selain pernah memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam seterusnya menjadi Ketua UMNO Bahagian itu ketika ini.

Pasa masa sama, Azhari menyarankan supaya UMNO tidak sesekali mengenepikan setiap pandangan yang dilontarkan oleh ahli-ahli parti di peringkat akar umbi dalam sesuatu perkara mahu isu kerana ianya dianggap sebagai sebahagian daripada suara rakyat.

"Ahli UMNO ketika ini dianggarkan berjumlah 3.6 juta orang yang mana apa juga pandangan mereka sudah tentunya relevan serta mewakili sebahagian daripada rakyat negara ini," ujarnya yang mencadangkan kepimpinan tertinggi parti sekurang-kurangnya perlu mempunyai 70 peratus golongan muda. - UTUSAN ONLINE