DR. BAAYAH BABA
DR. BAAYAH BABA

Manakan tidak, jika dahulu merekalah yang paling tegas menolak pemberian BR1M sehingga menggelarkannya sebagai rasuah dan dedak, tetapi kini mereka pula yang galak berkempen untuk bantuan tersebut.


Lebih menyedihkan, idea tiruan mereka untuk sekadar mengekalkan BR1M ternyata ketinggalan kerana Barisan Nasional (BN) melalui manifestonya yang inklusif jauh mendahului dengan tawaran penambahan jumlah bantuan dan pengenalan kategori baharu untuk isi rumah yang berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000.


Mengulas perkara tersebut, Penganalisis ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Baayah Baba berkata, tindakan gabungan pembangkang PKR untuk mengekalkan BR1M membuktikan langkah kerajaan BN yang memperkenalkan bantuan itu adalah langkah bijak.


Menurut beliau, perkara tersebut juga secara tidak langsung menafikan segala tohmahan yang pernah dilemparkan pemimpin-pemimpin gabungan tersebut terhadap bantuan itu.


“Mereka (gabungan pembangkang PKR) sudah tertelan kata-kata mereka sendiri. Sekarang mereka sudah mengakui bahawa BR1M sememangnya satu bentuk bantuan bersasar yang membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Baayah berkata, tawaran BN untuk menambah jumlah bantuan dan memperkenalkan kategori baharu membuktikan parti tersebut mempunyai perancangan ekonomi yang lebih baik.


“BN berani membuat tawaran sebegitu kerana mereka tahu mereka mampu, hasil daripada pengenalan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan peningkatan harga petroleum baru-baru ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE