Bukan itu sahaja, gabungan pembangkang PKR terutamanya DAP juga dilihat mempermainkan emosi ahli korporat dan pengundi Cina untuk memperdayakan kaum tersebut kononnya masa depan serta perniagaan mereka akan terbela di bawah pentadbiran pembangkang.

Bekas Pengasas PKR, Ng Lum Yong berkata, kebanyakan ahli korporat Cina yang ‘dipancing’ gabungan pembangkang PKR hanyalah semata-mata mendapatkan sumber kewangan untuk membiayai kempen PRU namun ‘ditinggalkan’ begitu sahaja apabila PRU berakhir.

Jelas beliau, pentadbiran dua negeri iaitu Selangor dan Pulau Pinang sejak dua penggal lalu jelas menunjukkan betapa kacau-bilaunya gabungan pembangkang PKR yang tidak mampu menguruskan negeri dengan baik.

“Setahu saya bukan Stanley sahaja yang dipermainkan tetapi banyak lagi ahli korporat Cina telah termakan dengan janji ‘manis’ gabungan pembangkang PKR dan saya tidak hairan sekiranya mereka akan tampil kembali memberi komitmen kepada Barisan Nasional (BN).

“Kejadian ini juga harus membuka mata masyarakat Cina untuk menolak gabungan pembangkang PKR bahawa tidak lagi memberi kuasa kepada gabungan itu kerana sudah terbukti mereka hanya bijak bermain kata-kata,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas permohonan maaf yang dilakukan Stanley atas penglibatannya dalam kempen pembangkang pada PRU-13.

Tambah Lum Yong, pelbagai masalah berlaku di Selangor dan Pulau Pinang termasuklah isu air, peningkatan penyakit denggi dan sampah sarap yang tidak dapat diselesaikan sehingga kini disebabkan kegagalan kepemimpinan kedua-dua negeri.

“Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng banyak menghabiskan masa bercakap soal politik sahaja tanpa mementingkan pembangunan dan kebajikan rakyat,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE