Pengumuman mengenai perkara tersebut dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) yang merupakan penganjur 'Forum Ibu Soko di Negeri Sembilan' berkenaan.

Perubahan itu dipercayai ada kaitan dengan bantahan pelbagai pihak terhadap pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon sebelum ini bagi merasmikan forum berkaitan adat masyarakat Melayu negeri ini.

Forum tersebut bakal berlangsung di Teratak Za'aba di Batu Kikir, Jempol bermula pukul 8.30 pagi ini.

Sebelum ini sebaran program itu dalam laman Facebook LMNS mendapat komen negatif orang ramai dengan alasan Nicole adalah pemimpin DAP.

Mereka beranggapan adalah tidak sesuai forum Adat Perpatih dirasmikan oleh pemimpin bukan Melayu yang tidak memahami adat tersebut.

Turut mempersoalkan perkara itu ialah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berpendapat program itu sepatutnya terletak di bawah portfolio Mohamad Nazaruddin yang juga ADUN Pilah.

Nicole sebelum ini berkata, beliau bersetuju merasmikan forum itu kerana mahu mempraktikkan kebersamaan termasuk dalam adat istiadat penting masyarakat Melayu.

Menurutnya, beliau berharap adat itu dapat disebarkan kepada semua lapisan kaum di negeri ini dan tidak terhad kepada orang Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri itu turut meminta perkara berkenaan tidak dipolitikkan, namun sedia menarik diri daripada merasmikan forum itu jika Undang atau Penghulu luak tidak bersetuju dengan rancangan asal penganjur. - UTUSAN ONLINE