Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembahagian itu mesti diputuskan oleh kepemimpinan tertinggi dan memerlukan pengorbanan serta tolak ansur daripada kedua-dua pihak.

“Jangan orang yang tak tentu pasal bercakap tentang (pengagihan) kerusi, biar ditentukan antara parti dengan parti dan pemimpin-pemimpin tertinggi parti duduk sama (berunding). Sedikit sama sedikit, kita bahagi asalkan kita menang.

“Tidak guna kalau hendak ambil semua, tetapi kalah. Saya faham ini akan jadi isu terutama di Pantai Timur sebab di sana Pakatan Harapan tak kuat, di sana antara UMNO dan Pas sahaja.

“Ini mesti dirunding dan mesti ada formula yang diguna pakai bukan secara menyeluruh di seluruh negara. Misalnya di Kedah ada formula agihan untuk negeri itu, begitu juga di Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan untuk pastikan kita menang,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO bahagian tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir timbalannya, Khairy Jamaluddin dan Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam soal pengagihan kerusi, UMNO dan Pas perlu mengetepikan perbezaan dan berkorban bagi memastikan matlamat untuk menang dalam PRU-15 dapat dicapai.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, mesyuarat tertinggi Barisan Nasional (BN) baru-baru ini telah memutuskan untuk mengadakan Konvensyen BN pada September depan.

“Kita akan panggil semua pemimpin parti termasuk ketua bahagian untuk bahaskan berkenaan peranan parti.

“Kita tidak mahu lagi UMNO dilihat sebagai parti yang amat dominan dalam BN sehingga orang kata MIC dan MCA ‘dibuli’. Dalam konvensyen itu juga,kita akan pinda Piagam BN,” katanya. - UTUSAN ONLINE