Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, adalah lebih baik isu-isu yang bukan bersifat kepentingan untuk rakyat ini diselesaikan secara dalaman.

Katanya, selepas lebih setahun PH memerintah, rakyat sudah tentunya hendak melihat apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan bagi memenuhi harapan dan keinginan mereka.

“Apabila berlaku pertelagahan politik, ramai yang kecewa. Nampaknya tidak pernah berubah... Saya berharap agar semua kemelut tidak kira dalam mana-mana parti sekali pun perlu diselesaikan secara baik dan dalaman.

“Tidak perlulah bertelagah secara terbuka. Isu-isu yang bukan bersifat kepentingan untuk rakyat ini, cubalah selesaikan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas meninjau program tuisyen percuma murid-murid kurang berkemampuan di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemelut dalaman PKR khususnya membabitkan pertembungan secara terbuka Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bagaikan tiada kesudahannya.

Pertelagahan itu dilihat mula meletus selepas Anwar meminta Mohamed Azmin meletak jawatan jika video seks sejenis yang dikaitkan dengannya itu benar dan kemudian dibalas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu agar Anwar bermuhasabah diri terlebih dahulu.

Berikutan itu juga penyokong dan pemimpin daripada dua kem itu terus berbalas kenyataan sehingga mengundang keresahan rakyat.

Sementara itu, Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, banyak perkara perlu diberi fokus dalam memenuhi tuntutan rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada PH.

“Sekarang ini, banyak isu tidak diselesaikan, rakyat mengeluh, mengadu antaranya kos sara hidup, kekurangan peluang pekerjaan dan isu PTPTN yang masih belum ada keputusan di peringkat atasan.

“Patutnya, perkara-perkara seperti ini perlu diberi keutamaan. Jadi, kalau kita boleh fokus kepada menyelesaikan tuntutan rakyat, itu lebih baik,” katanya. - UTUSAN ONLINE